Bismillahirahmanirahim…
Alhamdulillah selamat tiba di teratak di Bangi jam 10pm dari Batu Pahat. Dua minggu. Suatu tempoh yang agak lama untuk berjauhan dengan mama & ayah tersayang. Oh… tidak juga dilupakan Mr Oyen yang sudah siap sedia menyambut ketibaan kami dengan ‘miaw-miaw’ nya seperti biasa. Rindu sangat pada si tembam itu.
Sebelum di lupakan. Selamat Pengantin Baru diucapkan buat kedua-dua sepupuku yang telah selamat di ijabkabulkan dengan pilihan hati masing-masing. Tahniah buat Faizah Azra & Mohd Asrul Ezani (29 Mei) dan juga Nurulain & Mohd Fauwaz Najmi (6 Jun). Barakallahulakuma wa barakah wa jam’ana bainakuma fi khair…
2 minggu. Sengaja aku memilih kampung halaman untuk bersama-sama nenda tercinta, Puan Hjh Salmah dan dua keluarga sepupuku untuk menguruskan hari bahagia mereka. Dari meneman mereka untuk ‘fitting’ baju di butik andaman, mengisi cenderahati ke dalam bekas, hingga berada di sisi mereka hingga saat mereka diijabkabulkan.
Aku teragak-agak ketika mahu menginaikan Faizah & Ain. Tanpa aku sedari, butir-butir mutiara hampir gugur dari kedua kelopak mataku saat tok kadi meminta tanda tangan sepupuku dalam perakuan/ persetujuan nikah. Haih…macam dialah pula nak sedih-sedih ni kan. Masih segar di ingatan tatkala kami membesar dan bermain bersama-sama. Mandi dalam parit depan rumah atok, kacau lembu dan pelbagai perkara lagi di zaman ‘nakal’ dahulu. Alih-alih, sudah memikul satu tanggungjawab yang baru.
Melihat pelbagai persediaan yang dilakukan dan semestinya memerlukan pengeluaran belanja yang bukan sedikit, membuatkan aku terfikir apa yang bakal aku siapkan untuk hari bahagia ku suatu hari nanti. Yang penting, apa yang mama selalu pesan, perbelanjaan untuk kehidupan setelah bergelar suami-isteri itu adalah lebih penting. Dan yang ayah selalu pesan, akan pentingnya ilmu buat bekalan untuk mengemudi bahtera rumahtangga.
Masa-masa yang dihabiskan sepanjang berada di Batu Pahat juga cukup indah kerana aku berpeluang untuk ‘membongkar’ koleksi buku-buku dan majalah masakan milik ibu saudaraku. Dan mana resipi yang berkenan di hati ku salinkan dalam laptop yang sedia menemani ini. Insya Allah masa lapang yang diberikan akan ku isikan untuk mencuba masakan-masakkan tersebut. Hikmah yang diperolehi daripada kesempatan ‘cuti’ yang panjang. Aku berazam dan berdoa agar dikuatkan semangat untuk memberikan suami dan anak-anak makan dari hasil air tangan ku sendiri…amin (‘’,). Pengalaman memasak untuk program adik-adik sekolah pun sudah seronok (juga ketika memerhati mereka menjamahnya) apatah lagi untuk keluarga sendiri kan?
Pagi Selasa yang lalu (1 Jun) ku terima panggilan telefon dari alma mater ku SMIP untuk hadir ke temuduga pada 5 Jun- Sabtu. Namun, setelah berfikir dan bertanya pendapat dari insan di sekeliling, aku terpaksa menolak pelawaan tersebut. Walau jauh di sudut hati aku sangat menginginkan kerja tersebut kerja antara kerjaya yang mungkin membolehkan ku untuk memberikan lebih perhatian kepada keluarga ku kelak.
Hari itu (1 Jun) juga menyaksikan kelahiran seorang lagi mujahid ke dunia ini. Tahniah diucapkan kepada akh Ibrahim Hasan dan kak Husna Zamani atas kehadiran putera sulung seberat 2.9kg tepat jam 4.30pm di Pusat Rawatan Az-Zahrah, Bangi.
Namun, sinar mentari yang terang tidak kan selamanya kekal kerna hujan hujun di penghujung senja. Sekitar jam 12:30 malam 2 Jun, mama menghantar pesanan SMS pada ku bahawa tok ngah Maimunah telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di dalam lena di Shah Alam. Innalillahi wa inna ilairajiuun.
Family. It’s all that I can say. Family…it’s all I’ve ever wanted. Family…it’s where I would protect myself from the mad world. Family…it’s who will always make me ‘alive’ whenever I am down.
Ummi Ziyad,
PETRONAS PERMATA, Bangi.
3:05am
No comments:
Post a Comment