Telah sekian lama daku tidak mencoretkan sesuatu di laman ini. Di hambat dengan kesibukkan bekerja, mungkin? Alasan...
Banyak perkara telah berlaku di dalam tempoh 'kehilangan' diri ini. Pertamanya ialah kejadian pecah rumah pada awal Julai tempoh hari. Pada waktu itu, aku dan adik tiada di rumah. Cuma ada kedua umi dan walid tercinta. Alhamdulillah tiada apa yang buruk berlaku terhadap mereka. Walau agak terkilan dengan kehilangan laptop yang umi hadiah kan tahun lalu sehari sebelum beliau dan abah menunaikan umrah, serta set barang kemas 916 pemberian nenek, aku tahu pasti ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Mungkin si pencuri lebih memerlukan barang-barang tersebut. Walau kini sudah ada Ibn Hazm II sebagai pengganti, aku masih berharap pencuri itu dapat menjaga Ibn Hazm I (laptop) dengan baik.
*****
Kini, telah masuk minggu ke-3 aku mencurahkan khidmat di SKTSM (2) Shah Alam. Suatu pengalaman yang ku kira 90% berbeza dari 3 buah institusi yang pernah aku berkhidmat sebelum ini. Tawaran ini datang tanpa di sangka. Bak kata pepatah, "Bagai Bulan Jatuh Ke Riba". Sebagai seorang bekas pelajar aliran agama dan berkhidmat di institusi pendidikan agama swasta sebelum ini, aku selau memasang angan-angan untuk menabur bakti dan mencari pengalaman di sekolah kebangsaan (SK).
Bi'ah (suasana) yang berbeza dan hanya apabila di tempatkan di suasana yang berbeza dengan norma diri, kita akan dapat mengetahui kekuatan sebenar diri. Ya Allah, kurniakanlah kekuatan kepada hambaMU yang lemah dan dhaif ini.
Di sini, aku diberi tanggungjawab untuk mengajar matapelajaran Bahasa Melayu dan Pendidikan Seni Visual (PSV). BM... suatu pengalaman baru dan berasa amat bersyukur atas peluang yang diberi. Sambil mengajar, aku mengambil peluang bersama anak- anak di dalam kelas untuk memperbaiki tatabahasa dan aspek-aspek lain yang berkaitan. Andai struktur ayat yang aku tulis di papan putih dirasakan agak 'pelik', anak- anak sedia membantu memberi cadangan pembetulan. Antara yang paling diingati ialah "Buat ayat..." di tukar kepada "Bina ayat...". Lebih sesuai. Terima kasih anak-anak. Sistem ejaan dan tatabahasa BM kini juga aku rasakan sedikit berbeza yang memerlukan aku membuat rujukan dari masa ke masa.
*****
Selalu sahaja diri ini menginginkan anak yang ramai. Ramai? Dalam lingkungan 5-6orang. Walau anak- anak murid di sekolah bukanlah anak-anak yang lahir dari rahimku sendiri, pengalaman yang ditimba sedikit sebanyak membuka mataku tentang dunia kanak-kanak dan ilmu keibubapaan. Sebagai seorang guru yang paling muda (nak juga kan...) dan belum mempunyai keluarga sendiri, guru- guru senior lain banyak aku jadikan tempat rujukan andainya ada kemusykilan berkaitan dengan anak-anak di bilik darjah dan perkongsian am yang lain.
Aku belajar bagaimana hendak membuat anak-anak kelihatan kemas di dalam kelas. Walaupun berpuluh kali perlu mingingatkan mereka untuk membetulkan kolar baju dan sebagainya, semuanya itu ku anggap sebagi rutin harian buat seorang ibu.
Aku juga cuba untuk mendidik mereka tentang batas pergaulan antara pelajar bukan muhrim. Walau hasilnya nanti mungkin sedikit kerana kesuntukan masa, aku akan tetap berasa bersyukur kerana dapat bersama-sama nereka untuk memperbaiki diri.
Hati ini berbunga riang mengelilingi kelas dan mengasah pensel anak-anak yang ku rasakan tumpul. Mungkin sudah terbiasa semasa di alam persekolahan dahulu, salah seorang guruku akan melakukan "spot-check" alat- alat tulis untuk memastikan ianya lengkap dan sedia untuk digunakan.
Adakalanya, kenakalan dan kelincahan mereka di dalam bilik darjah menguji kesabaran diri. Namun, semuanya itu hanya atas dasar kasih dan sayang. Aku kagum akan kesucian seleping hati yang mereka miliki. Walau dimarah dan "dipukul-pukul sayang", mereka masih mampu tersenyum, tertawa dan sudi menghulurkan bantuan andai dipinta. Kita yang sudah dewasa dan cukup umur ini bagaimana agaknya jika dimarah?.
****
Tinggal kurang dari 2 minggu sahaja lagi aku bakal menamatkan khidmat sebagai guru ganti di bumi bertuah ini. Sebelum berehat sebentar dan bercuti raya...seterusnya menyambung pelajaran di ard' UIAM yang sentiasa di hati. Rabbi Yassir Wala Tu'assir, Rabbi Tammim bikhair...
Allah Knows Best!
No comments:
Post a Comment